SATU PERKONGSIAN HEBAT....sungguh terharu~
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnianya, sampai saat ini kita masih dipanjangkan usia untuk berada di Bulan Ramadhan. Inilah yang sering kita doakan :
“ Ya Allah berkatilah kami di bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan
Ramadhan.”
Kita juga bersyukur kerana malam malam hari kita dapat bersama dalam majlis solat terawih, salah satu sunnah yang amat diberatkan di bulan Ramadhan. Semoga Allah
memanjangkan umur kita bagi memperoleh segala keberkatan Ramadhan dan mengekalkan kita dengan iltizam dan komitment kepada solat terawih.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Rasulullah (saw) diriwayatkan sebagai bersabda ketika menjelang Ramadhan
bermaksud:
“Sesungguhnya telah hadir bulan Ramadhan, bulan berkat, Allah telah mewajibkan ke
atas kamu berpuasa, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup rapat pintu neraka dan
ditambat para syaitan, Di bulan ini terdapat satu malam yang terbaik dari seribu bulan.
Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi.”
(Hadis riwayat Ahmad dan An-nisai)
Demikian bunyi pengumuman yang dibuat oleh Rasulullah (saw) setiap menjelangnya
Ramadhan.
Pengumuman ini membayangkan bahawa kedatangan Ramadhan adalah satu peristiwa
yang amat bermakna bagi mukmin. Puasa pada siang harinya adalah salah satu syi’arnya
yang penting. Tetapi bukan itu sahaja yang terdapat di bulan ini. Adalah rugi kiranya
kita terlepas dari mendapat manfaat dan keberkatan lain yang begitu banyak di dalamnya.
Rasullullah (saw) menegaskan bahawa Ramadhan bukan sahaja bulan kita berpuasa
tetapi ia datang dengan penuh keberkatan, yang mana jalan untuk beramal begitu luas
terbentang, jalan untuk mendapat pahala berlipat ganda dipermudahkan, jalan ke arah
dosa dipersempitkan. Ini merupakan pemberian Allah yang tiada-tolok bandingnya.
Nah.. jika begitu. Kita tanyakan diri kita pada malam pertama ini. Mahukah kita
menerima tawaran dan pemberian Allah ini? Mahukah kita menjadi hamba-Nya yang
mendapat keberkatan lailatul qadr yang lebih baik dari seribu bulan yang bersamaan
lebih 83 tahun.. mungkin melampaui kadar umur kita?
Sebaliknya ingatlah pesanan di hujung hadis tersebut:
“Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya sesungguhnya dia
rugi”.
Saudara-saudari yang dirahmati Allah,
Maka marilah kita tetapkan niat kita untuk menimba sebanyak mungkin keberkatan di bulan Ramadhan. Pada malam ini, kita tingkatkan komitment kita untuk rakus dan haloba mencari pahala. Malam ini juga kita pasang janji kita untuk berlumba
memanfaatkan masa yang begitu terhad untuk beramal dan beribadah. Pada malam ini
kita bulatkan tekad untuk tidak tergolong ke dalam golongan yang rugi.
OLEH:Dr. Hj. Omar bin Yaakob
Tidak ada komentar:
Posting Komentar